KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lagi individu dalam siasatan terhadap pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Mereka yang ditahan ialah timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang juga anak syarikat badan berkanun berkenaan.
Mereka ditahan kerana disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti (NOP) kira-kira RM450,000.
Semua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan pada jam 6 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM.
BH difahamkan, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2017 hingga 2019.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu bagi siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau turut mengesahkan ketiga-tiga mereka direman selama lima hari hingga 9 Ogos ini.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Dengan penahanan tiga suspek itu, SPRM hingga ini menahan lima individu berkaitan laporan RCI berkenaan.
Sumber : Berita Harian Online