Rayuan bekas pegawai perancang bandar ditolak, hukuman rasuah dikekalkan

Tarikh: 19/12/2024
img

Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang bekas pegawai perancang bandar dan desa terhadap sabitan terhadapnya atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,500, enam tahun lalu.


Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan mengekalkan hukuman penjara dua bulan, denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan selepas menolak rayuan Zariman Ibrahim, 44.


Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 17 Ogos 2023 menjatuhkan hukuman berkenaan namun tertuduh yang ketika kejadian berkhidmat di Majlis Daerah Besut membuat rayuan.


Hassan kemudian menolak rayuan itu dengan mengekalkan hukuman terhadap tertuduh yang berkuat kuasa hari ini.


Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 melalui akaun peribadinya daripada juru ukur, Nor Hashimi Hassan.


Kesalahan dilakukan itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya pada 4 September 2018.


Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Zamri Md Jail.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel