KUALA LUMPUR: Kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka menjadi tumpuan utama prosiding mahkamah minggu ini, dengan beberapa lagi kes rasuah berprofil tinggi yang turut dijadualkan untuk perbicaraan dan keputusan.
Mahkamah Rayuan akan memutuskan rayuan difailkan Badan Peguam berhubung semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memohon perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid, Khamis ini.
Ia akan diputuskan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Kes pegawai Jabatan Air Negeri Sabah
Jumaat ini, di Sabah, Mahkamah Khas Rasuah akan menetapkan tarikh keputusan bagi kes yang membabitkan pegawai atasan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang telah berlarutan hampir sedekad.
Kes terbabit mula mendapat perhatian pada 2016 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi besar-besaran dan merampas wang tunai serta barangan bernilai jutaan ringgit, antara yang terbesar dalam sejarah negeri itu.
Bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir, 63, isterinya Fauziah Piut, 58, serta bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 69, berdepan pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.
Ag Mohd dan Fauziah, serta Lam Beng didakwa pada 28 Disember 2016 apabila semuanya mengaku tidak bersalah.
Ag Mohd berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.
Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama dengan Ag Mohd di bawah seksyen yang sama, manakala Ag Mohd mempunyai satu pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.
Ag Mohd dan isterinya didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi termasuk di pejabatnya di Kota Kinabalu, sebuah rumah di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium, di Sulaman dan sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.
Lam Beng pula didakwa melakukan kesalahan di pejabat SPRM Jalan UMS dan sebuah rumah di sini antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.
Permohonan Najib tangguh bayar AS$1.3 bilion
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut menetapkan 7 Mei ini untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi penangguhan sementara pembayaran sebanyak AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd, selain memutuskan isu kos dalam kes berkenaan.
Peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC, mengesahkan tarikh berkenaan ditetapkan Penolong Pendaftar Mohd Syafiq Mustaza menerusi secara dalam talian.
Pada minggu ini juga, Mahkamah Sesyen akan memulakan perbicaraan kes seorang pengarah syarikat, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak, yang didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Perbicaraan itu dijadualkan berlangsung 17 hari bermula 7 Mei ini, membabitkan dakwaan bahawa suapan berkenaan ditawarkan sebagai dorongan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi menara berkenaan.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh, 52, didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Perbicaraan kes itu bermula pada 7 Mei 2018 dengan pihak pendakwa memanggil seramai 44 saksi. Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi, termasuk beberapa saksi yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan, seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Sumber : Berita Harian Online