SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menerima RM9,110 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual bagi pembayaran kerja baik pulih rumahnya, empat tahun lalu.
Dr Norhazni Mat Sari, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Norhazni sebagai seorang penjawat awam iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, menerima suatu benda yang berharga dengan tiada balasan, iaitu bayaran membaikpulih rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya berjumlah RM9,110 daripada seorang pengarah sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual.
Bayaran berkenaan didakwa dibuat oleh pengarah lelaki berusia 42 tahun melalui pindahan dalam talian ke akaun milik sebuah syarikat pembinaan di sebuah cawangan bank di Taman Sentosa Klang, pada 25 Mei 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman, penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin memohon kebenaran mahkamah untuk menggunapakai jaminan berjumlah RM25,000 yang dikenakan terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Pendakwaan turut memohon kes berkenaan dibicarakan secara bersama.
Peguam yang mewakili tertuduh, Haresh Mahadevan tidak membantah cadangan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh menggunapakai jaminan yang sama dan kes akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 Mei depan.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, Norhazni didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan sebaik ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Mengikut semua tuduhan, Norhazni sebagai seorang penjawat awam iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, telah menerima wang itu secara tanpa balasan daripada sebuah syarikat sedangkan tertuduh mengetahui pengarah syarikat itu mempunyai perhubungan dengan kerja rasminya.
Wang berkenaan diterima secara pindahan dalam talian ke akaun bank anak tertuduh, di sebuah bank Cawangan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 18 April 2022.
Sumber : Berita Harian Online