Rasuah tanah milik bekas pekerja ladang, SPRM reman pengarah syarikat

Tarikh: 13/03/2026
img

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat direman lima hari selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah bagi menyerahkan tanah milik bekas pekerja ladang untuk pembangunan komersial.

Perintah reman terhadap suspek sehingga Isnin ini dikeluarkan Majistret Mohamad Suffian Jaafar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek dipercayai menyerahkan tanah milik 136 bekas pekerja ladang di Hulu Selangor antara tahun 2020 hingga 2025 tanpa pengetahuan mereka kepada sebuah syarikat pemaju.

"Suspek yang juga adalah pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira 3.2 hektar itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah sekitar RM50,000 hingga RM100,000 beberapa kali dalam tempoh lima tahun.

"Ia dipercayai sebagai balasan membantu menyerahkan tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan komersial bernilai kira-kira RM4 juta," katanya.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel