Rasuah tajaan inap desa, bufet barbeku, penjawat awam dan pengarah syarikat direman 5 hari

Tarikh: 06/02/2025
img

Georgetown: Pengarah landskap sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang dan seorang pengarah syarikat direman lima bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berbentuk tajaan inap desa dan hidangan bufet barbeku bernilai RM2,420.


Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Mahkamah Majistret Jenayah 2 di sini, bermula hari ini.


Sumber SPRM berkata pengarah agensi kerajaan negeri terbabit dilaporkan menerima suapan berbentuk tajaan penginapan dan bufet tersebut di Tanjung Tokong pada tahun lalu.


Menurutnya, pemberian tajaan itu dipercayai sebagai dorongan bagi membolehkan pemilik syarikat kontraktor terbabit mendapatkan projek di bawah agensi kerajaan itu.


Difahamkan penjawat berusia 42 tahun dan pengarah syarikat berusia 37 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira jam 2 petang, semalam.


Terdahulu, kedua-dua mereka yang dibawa menggunakan kenderaan SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dengan memakai baju lokap SPRM pada jam 8.55 pagi dalam keadaan tangan bergari.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel