BEIJING: Sebuah mahkamah di China pada Isnin menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas pegawai kanan bandar Nanjing, timur China, Yang Youlin selepas dia didapati bersalah atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Mahkamah Perantaraan Rakyat Changzhou di wilayah Jiangsu dalam kenyataan mengenai keputusan penghakiman pertama memaklumkan Youlin menerima wang dan harta benda secara haram berjumlah lebih 2.2 bilion yuan (kira-kira RM1.43 bilion) ketika memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan antara 1993 hingga 2023.
Pihak Reuters tidak dapat menghubungi Youlin atau peguamnya bagi mendapatkan maklum balas berhubung keputusan berkenaan.
Sepanjang kempen membanteras rasuah yang dilancarkan Presiden Xi Jinping sejak beberapa tahun lalu, jutaan individu dalam sistem birokrasi yang luas di China disiasat atas pelbagai kesalahan.
Bagaimanapun, kebanyakan kes hanya berakhir dengan tindakan tatatertib, manakala hukuman mati termasuk pelaksanaan hukuman gantung terhadap pesalah rasuah yang dibicarakan di mahkamah kekal jarang berlaku dengan hanya sebilangan kecil kes direkodkan dalam tempoh lebih sedekad.
Hukuman mati dengan penangguhan pelaksanaan yang biasanya diringankan kepada penjara seumur hidup biasanya dikenakan terhadap pegawai yang didapati menerima rasuah dalam jumlah yang besar.
Mahkamah memaklumkan Youlin yang juga bekas timbalan pengarah eksekutif Jawatankuasa Pentadbiran Zon Pembangunan Nanjing melakukan kesalahan rasuah dalam skala luar biasa dengan keadaan yang amat serius serta memberi kesan sosial yang buruk.
"Yang Youlin membuat kenyataan akhir dan mengaku bersalah serta menyatakan kekesalan di mahkamah," menurut kenyataan mahkamah itu.
Dalam kes rasuah terbaharu yang diketahui, hukuman mati dilaksanakan selepas jumlah suapan yang diterima melebihi 1 bilion yuan (kira-kira RM650 juta).
Pada 2024, Li Jianping, seorang pegawai di wilayah Mongolia Dalam dihukum mati selepas didapati bersalah dalam kes rasuah yang membabitkan nilai melebihi 3 bilion yuan (kira-kira RM1.95 bilion).
Dalam satu lagi kes berprofil tinggi, Zhang Zhongsheng, seorang pegawai dari wilayah Shanxi didapati bersalah menerima rasuah melebihi 1 bilion yuan (kira-kira RM650 juta) dan dijatuhi hukuman mati pada 2018, namun hukuman itu kemudian ditukarkan kepada hukuman mati dengan penangguhan pelaksanaan dan penjara seumur hidup selepas rayuan dibuat pada 2021.
Sumber : Berita harian Online