Kuantan: Seorang pengurus Felcra Berhad di Kuala Lipis, direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat kejuruteraan.
Perintah reman bermula hari ini hingga 11 Mei ini terhadap pengurus terbabit dikeluarkan Majistret Rosnaida Abdul Razak di Mahkamah Majistret Raub selepas permohonan dibuat SPRM.
Sumber berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Raub, semalam ketika hadir memberi keterangan.
"Pengurus FELCRA dari Kuala Lipis itu ditahan SPRM Pahang selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM1,000 hingga RM3,000 dari 2023 sehingga 2024.
"Suapan itu bagi membantu mendapat dan memudahkan urusan kerja sebuah syarikat kejuruteraan di FELCRA Berhad di Kuala Lipis," kata sumber itu.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sumber My Metro