KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan didakwa berhubung kes meminta dan menerima rasuah, di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini.
Iliyas Jamil, 42, yang memakai kot biru gelap, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) dengan diiringi dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebentar tadi.
Pertuduhan terhadap Iliyas akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin pada jam 9 pagi ini.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, dilaporkan berkata CEO sebuah badan berkanun yang disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan kira-kira RM1 juta, akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini.
Beliau berkata individu berkenaan bakal menghadapi tujuh pertuduhan, iaitu satu pertuduhan meminta suapan dan enam pertuduhan menerima suapan bernilai keseluruhan RM450,000 menerusi enam transaksi.
Sumber : Berita Harian OnlineĀ