PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini jam 9.31 pagi, tadi bagi membantu siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang dimeterai kerajaan dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di England, Arm Plc Holdings (ARM).
Rafizi dilihat tiba menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo XC60 berwarna gelap dan memakai kemeja putih, sut hitam serta seluar kelabu.
Lebih 30 penyokong Rafizi turut hadir di pekarangan SPRM sejak jam 8.40 pagi bagi memberi sokongan, termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Kenderaan membawa Rafizi dan barisan peguam turut berhenti di tepi jalan sebelum pintu masuk utama bagi membolehkan Rafizi menyantuni penyokong yang hadir.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, sebelum ini dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Rakaman percakapan Rafizi dibuat selepas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.
Mohd Hafaz dipetik sebagai berkata, sebanyak 22 keterangan sudah diambil termasuk dalam kalangan menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan dalam syarikat asing berkenaan selepas meninggalkan perkhidmatan di sebuah kementerian.
Sumber : Berita Harian Online