"Ia dilaporkan secara meluas oleh pihak media, kenyataan, keterangan daripada pimpinan kanan negara termasuklah tiga orang lagi pimpinan kanan kerajaan yang terbabit, yang sebelum ini melambung-lambung dan ya lah, memuji ini sebagai satu dasar besar negara termasuk daripada Datuk Seri Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri, daripada Senator Amir Hamzah (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) Menteri Kewangan II, daripada Datuk Tengku Zafrul, (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz)," katanya kepada media sebelum masuk ke Ibu Pejabat SPRM.
Rafizi berkata, beliau menjangkakan akan memberi keterangan sekurang-kurangnya tiga jam hari ini, bergantung kepada setiap bukti yang bakal diserahkan itu.
Beliau berkata, dokumen itu diserahkan sebagai keterangan tambahan daripada pihaknya yang dikumpulkan sejak kali pertama kerjasama itu dibincangkan dan akan dipadankan dengan setiap keputusan, kenyataan dan ucapan pemimpin kanan terbabit.
"Saya ingat itu akan memberi konteks yang menyeluruh mengenai kes ini," katanya.
Rafizi berkata, setakat ini beliau sudah merakamkan sejumlah 131 muka surat keterangan dan menjangkakan bilangannya akan bertambah.
Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Rakaman percakapan Rafizi dibuat selepas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut sebelum ini.
Setakat ini, sebanyak 22 keterangan sudah diambil termasuk dalam kalangan menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.
SPRM membuka kertas siasatan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan dalam syarikat asing berkenaan selepas meninggalkan perkhidmatan di sebuah kementerian.