Putuskan segi tiga penipuan untuk hapus rasuah sektor awam

Tarikh: 12/02/2026
img

KES rasuah membabitkan pegawai kanan sektor awam, termasuk yang berkaitan dengan institusi pertahanan negara, sekali lagi menggugat keyakinan rakyat terhadap integriti tadbir urus awam di Malaysia.

Walaupun tumpuan umum sering terarah kepada salah laku individu, pendekatan ini sebenarnya tidak mencukupi untuk menangani masalah secara berkesan dan berpanjangan. Penjelasan lebih kukuh terletak pada kelemahan sistem dan struktur membolehkan rasuah berulang.

Dalam konteks tadbir urus dan perakaunan awam, rasuah hakikatnya satu bentuk penipuan kerana ia membabitkan penyalahgunaan kuasa, penipuan proses dan penyelewengan sumber awam untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

Justeru, teori segi tiga penipuan merangkumi tekanan, peluang dan rasionalisasi memberikan kerangka berguna untuk memahami bagaimana rasuah boleh berlaku dalam sektor awam.

Dalam sektor awam, tekanan tidak semestinya hanya berpunca daripada masalah kewangan peribadi. Ia sering wujud dalam bentuk tekanan politik, tuntutan prestasi organisasi serta keperluan untuk melaksanakan projek dengan segera, terutama dalam sektor strategik seperti pertahanan.

Peruntukan kewangan besar, keperluan keselamatan negara dan tempoh pelaksanaan singkat boleh mewujudkan persekitaran yang mana kepantasan dan budi bicara diberi keutamaan berbanding ketelitian dan kawalan.

Walaupun tekanan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk salah laku, ia membantu menjelaskan mengapa sempadan etika boleh diuji apabila perlindungan institusi tidak cukup kukuh.

Namun, elemen paling kritikal dalam segi tiga penipuan ialah peluang. Peluang wujud apabila kawalan dalaman lemah, pengawasan tidak efektif dan mekanisme akauntabiliti gagal dikuatkuasakan dengan berkesan.

Perolehan pertahanan sebagai contoh lazimnya bersifat kompleks, bernilai tinggi dan dilindungi kerahsiaan, sangat terdedah kepada risiko ini.

Kelemahan dalam pengasingan tugas, pemilihan pembekal tidak telus, pemantauan kontrak longgar serta dokumentasi tidak mencukupi membuka ruang luas kepada penyalahgunaan kuasa dan penipuan proses.

Manifestasi kegagalan tadbir urus

Keadaan ini menunjukkan rasuah bukan sekadar kegagalan moral individu, tetapi manifestasi kegagalan tadbir urus dan kawalan dalaman.

Elemen ketiga, rasionalisasi, membolehkan salah laku dibenarkan secara dalaman. Rasuah sering dianggap sebagai tindakan sementara, ganjaran atas jasa atau pengorbanan kecil demi kepentingan organisasi atau negara.

Apabila teguran audit berulang kali diketengahkan tanpa tindakan pembetulan tegas, rasionalisasi ini menjadi norma. Lama-kelamaan, penipuan dinormalisasikan, budaya integriti terhakis dan kepercayaan awam terhadap institusi semakin merosot.

Jika punca rasuah difahami melalui lensa segi tiga penipuan, maka penyelesaiannya mestilah bersifat pencegahan dan berstruktur. Pengukuhan kawalan dalaman perlu diberi keutamaan, termasuk memperketatkan proses perolehan, menguatkuasakan pengasingan tugas, memperjelas hirarki kelulusan, memastikan pengisytiharan konflik kepentingan serta melaksanakan usaha wajar pembekal menyeluruh.

Sistem kewangan, perolehan dan aset juga perlu diintegrasikan bagi membolehkan pengawasan lebih berkesan khususnya dalam institusi berisiko tinggi.

Lebih penting lagi ialah peranan audit susulan. Audit kehilangan impak pencegahannya apabila penemuan ketirisan dibiarkan tanpa tindakan. Dalam hal ini, Jabatan Audit Negara (JAN) mula memberi penekanan lebih besar kepada audit susulan bagi memastikan isu dibangkitkan diterjemahkan kepada pembetulan sebenar, bukannya sekadar berulang dalam laporan tahunan.

Audit susulan sistematik dan berstruktur, berjangka masa serta telus berupaya menutup ruang 'peluang' dalam segi tiga penipuan dengan memastikan kelemahan dikenal pasti tidak menjadi kebocoran berterusan.

Rasuah dalam sektor awam bukan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem yang boleh diperbetulkan. Terdapat tiga perkara utama perlu diberi perhatian.

Pertama, pemahaman jelas rasuah adalah satu bentuk penipuan. Rasuah berlaku apabila tekanan, peluang dan rasionalisasi wujud secara serentak manakala kegagalan menangani interaksi ini menyebabkan usaha pembaharuan tersasar daripada punca sebenar.

Kedua, kawalan dalaman mesti diperkukuh secara menyeluruh, khususnya dalam bidang berisiko tinggi seperti perolehan, melalui penguatkuasaan pengasingan tugas, ketelusan proses kelulusan dan pemantauan kontrak berkesan bagi menutup ruang peluang penipuan.

Ketiga, audit hanya berfungsi sebagai mekanisme pencegahan apabila disusuli dengan audit susulan tegas, penetapan tempoh siasatan sebelum tindakan diambil dan berakauntabiliti, supaya kelemahan dikenal pasti tidak menjadi kebocoran berulang.

Akhirnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi awam tidak bergantung pada banyaknya peraturan atau laporan audit, tetapi pada keyakinan setiap kelemahan ditangani dengan serius dan tidak dibiarkan berulang.

Penulis adalah Ketua Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

MACC FM
My Anti-Corruption Channel