Pusingan kerja berjaya hasilkan impak signifikan - JKDM

Tarikh: 22/01/2025
img

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sudah melaksanakan pusingan kerja membabitkan pegawainya, mengaku langkah itu berjaya menghasilkan impak signifikan.

Pelaksanaan itu antara lain membabitkan pertukaran seramai 840 kakitangan pelbagai gred jawatan bawah jabatan itu, sepanjang tahun lalu di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata impak signifikan itu dapat dilihat dalam prestasi JKDM, termasuk pencapaian kutipan hasil sebanyak RM65.57 bilion bagi tahun lalu.

Beliau berkata, angka itu mencatat peningkatan RM10.40 bilion atau 18.85 peratus berbanding 2023, sekali gus menunjukkan keberkesanan strategi berkenaan dalam memperkukuhkan keberhasilan JKDM.

"Pelaksanaan pusingan kerja itu juga berjaya memecahkan mentaliti 'silo' dalam kalangan warga kerja, apabila pegawai didorong untuk memahami keseluruhan fungsi jabatan dan tidak berfokus kepada sesuatu fungsi sahaja.

"Ia seterusnya memupuk budaya kerjasama serta mengurangkan halangan komunikasi antara bahagian, dan membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan itu dari perspektif yang berbeza.

"Dengan itu, mereka dapat mencuba pendekatan baharu yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi, dan seterusnya menjadikan JKDM lebih berkesan serta bersinergi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, semalam, yang mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti dan melaksanakan pusingan kerja ke atas semua penjawat awam yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.

Shamsul Azri dilaporkan berkata, tempoh lima tahun bertugas di kaunter perkhidmatan, disifatkan sebagai terlalu lama.

Pada masa sama, Anis Rizana menegaskan, JKDM terus komited meningkatkan keberkesanan operasi dan integriti perkhidmatan awam sejajar arahan Ketua Setiausaha Negara.

Malah, katanya, pelaksanaan pusingan kerja secara menyeluruh menjadi antara langkah strategik utama dalam mengukuhkan keberkesanan tadbir urus serta mengurangkan risiko integriti di lokasi berisiko tinggi.

Beliau berkata, langkah itu bukan saja bertujuan memastikan pematuhan kepada reformasi sektor awam, tetapi juga untuk mempertingkatkan lagi kompetensi dan produktiviti pegawai serta integriti perkhidmatan JKDM.

Katanya, ia juga berupaya menambah pengalaman dan kepakaran sedia ada pegawai.

"Pelaksanaan ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Kaedah Penempatan Pegawai Dalam Perkhidmatan Awam dan Urusan-Urusan Lain Berkenaan Penempatan), Ceraian UP.2.2.1, dan Perintah Tetap Perjawatan Bilangan 78 (Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM).

"Langkah strategik ini diambil untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran serta pengalaman warga JKDM secara horizontal bagi memenuhi keperluan peningkatan tugas.

"Ia sekali gus memastikan keseimbangan fungsi dan keberkesanan pelaksanaan tugas demi kepentingan kemajuan kerjaya warga pada masa depan.

"Kitaran kerja ini dirancang untuk memastikan setiap pegawai terdedah kepada pelbagai aspek operasi bagi membangunkan kemahiran baharu serta meningkatkan integriti dan ketelusan melalui peralihan tanggungjawab yang berkala," katanya.

Anis Rizana berkata, langkah itu memberi peluang untuk pegawai meningkatkan kecekapan individu serta pasukan melalui pendedahan kepada pelbagai peranan, selain mengekalkan keseimbangan beban kerja antara bahagian kritikal dengan memastikan tenaga kerja mencukupi dan kompeten.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif terbabit bertujuan memelihara integriti warga kastam yang mengisi jawatan berisiko dan terdedah kepada salah guna kuasa, penyelewengan serta rasuah akibat terlalu lama bertugas di sesuatu tempat.

"Pelaksanaan ini bukan saja mengukuhkan struktur organisasi tetapi juga memacu ke arah prestasi unggul dalam setiap aspek operasi jabatan," katanya.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel