Prosiding rekod bukti tambahan kes solar Rosmah ditangguhkan

Tarikh: 18/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Prosiding merekodkan bukti tambahan daripada saksi pendakwaan ke-16 (SP16), Rayyan Radzwill Abdullah dalam rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kes rasuah projek solar hibrid Sarawak ditangguhkan susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu ketika prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan pada 1 September lalu sehingga rayuan pendakwaan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.

Akberdin berkata, pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan itu selepas mengambil kira perbincangan antara kedua-dua pihak serta tindakan pendakwaan memfailkan perakuan segera di Mahkamah Persekutuan bagi mempercepatkan pendengaran rayuan.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan juga menetapkan 7 Oktober ini bagi pengurusan kes secara e-Review untuk mendapatkan perkembangan rayuan di Mahkamah Persekutuan, selain melapangkan pendengaran rayuan utama yang sebelum ini ditetapkan pada Oktober.

"Jadi, prosiding di hadapan Yang Arif hari ini akan ditangguhkan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan dilupuskan.

"Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Oktober ini bagi pengurusan kes dan kami tidak pasti sama ada rayuan di Mahkamah Persekutuan dapat didengar sebelum tarikh itu," katanya ketika memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.

Akberdin berkata, pihaknya memohon satu tarikh baharu bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam yang hadir dalam prosiding itu turut mengesahkan penangguhan itu sehingga rayuan pendakwaan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.

"Kami memohon satu lagi tarikh sebutan ditetapkan di hadapan Yang Arif bagi perkara ini," katanya.

Ketika ditanya bila Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan itu, Mohamad Mustaffa berkata, setakat ini tiada tarikh ditetapkan dan pihaknya akan memohon tarikh paling awal.

Aslam menetapkan 6 November ini sebagai tarikh sebutan bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rosmah untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes berkenaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli, bersama Datuk Dr Choo Kah Sing dan K Muniandy, turut mengarahkan bukti tambahan membabitkan Rayyan direkodkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh dua minggu.

Susulan keputusan itu, pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 4 September lalu untuk mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Rayyan yang juga saksi utama pendakwaan dalam akuan berkanun yang dikemukakan sebagai sebahagian daripada bukti tambahan, antara lain mendakwa wujud tekanan daripada pihak pendakwaan ketika perbicaraan serta mengemukakan bahan dokumentari bagi mencabar kredibiliti keterangannya.

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau didapati bersalah meminta suapan RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, berjalan serentak, selain denda RM970 juta.

Beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel