Prosiding kes rasuah Zizie Izette diteruskan hari ini

Tarikh: 18/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Tumpuan sekali lagi terarah kepada balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin apabila prosiding kes rasuah yang dihadapinya sejak 2019, diteruskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Datin Seri Zizie Izette A Samad dijadualkan menjalani hujahan lisan selepas selesai memberi keterangan, Mac lalu.

Kes membabitkan artis berusia 48 tahun yang diwakili peguam, Datuk Seri K Kumaraendran, itu akan didengar di hadapan Hakim Rosli Ahmad selepas pihak pembelaan memfailkan hujah bertulis pada atau sebelum 24 April lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat bersama Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah untuk suaminya mendapat kelulusan Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan bernilai RM150 juta.

Pelaburan terbabit bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, yang kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersubahat bersama Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai bernilai RM262,500 daripada individu sama.

Zizie Izette turut didakwa menerima suapan terbabit melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund yang didaftar atas nama tertuduh bagi tujuan sama.

Dia juga dituduh bersubahat bersama suaminya dengan memperoleh suapan wang tunai bernilai RM337,500 daripada ejen Unit Amanah Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar.

Dia didakwa menerima suapan itu melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan sama.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini, pada 12 dan 19 Jun 2015.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada Rabu, Mahkamah Majistret Seremban di Negeri Sembilan dijadual membuat keputusan hukuman terhadap remaja bawah umur yang memandu Honda Jazz secara berbahaya hingga menyebabkan tiga maut, pada Mac tahun lalu.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah dijangka memuktamadkan keputusan kes terbabit dalam prosiding dijalankan secara tertutup, selepas mendapat laporan akhlak tertuduh.

Pada 17 Disember 2025, remaja yang kini berusia 18 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula ketika prosiding pengurusan kes, sebelum mahkamah menetapkan 25 Februari lalu, untuk fakta kes dan penyediaan laporan akhlak.

Tertuduh didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15; Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights, Seremban, pada 6 Mac 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis ini, dijangka memuktamadkan keputusan berhubung saman pemula (OS) difailkan M Indira Gandhi dan 13 lain untuk mencabar kesahihan undang-undang negeri berkaitan pertukaran agama secara unilateral.

Indira dan 13 lain sebagai plaintif, memfailkan OS pada Mac 2023, untuk membatalkan pertukaran agama secara unilateral di enam negeri, membabitkan kerajaan Johor, Perlis, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak, serta Wilayah Persekutuan.

Dalam OS itu, plaintif mendakwa enakmen negeri bercanggah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, seperti ditafsirkan dalam kes Indira pada 2018, mengenai pertukaran agama secara unilateral.

Perkara 12(4) memperuntukkan agama individu berumur 18 tahun ke bawah hendaklah ditentukan 'ibu bapa atau penjaga'.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel