KUALA LUMPUR: Projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama Pulau Pinang bernilai RM6.7 bilion hanyalah helah untuk memperdaya orang ramai dan lebih menyerupai penipuan tanah, Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.
Penolong Kanan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli, 33, berkata demikian ketika membacakan penyataan saksi dalam perbicaraan rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berhubung projek berkenaan.
Zulhilmi yang juga pegawai penyiasat kes itu berkata, Penasihat DAP itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya bagi membantu ahli perniagaan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan syarikatnya, Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (BUCG), mendapatkan projek infrastruktur mega berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati Guan Eng telah meminta 10 peratus daripada keuntungan projek itu daripada Zarul sebagai balasan kerana membantu syarikatnya mendapatkan kontrak berkenaan.
"Siasatan turut menunjukkan tertuduh merancang untuk menganugerahkan projek kontroversi itu terus kepada syarikat Zarul, dengan mengenepikan proses tender terbuka," katanya ketika membacakan penyataan saksi di hadapan Hakim Azura Alwi.
"Siasatan mendapati tertuduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri ketika itu dengan membantu Zarul dan syarikatnya mendapatkan projek tersebut.
"Tertuduh juga didapati meminta wang daripada Zarul serta dengan tidak jujur menyebabkan pelupusan dua lot tanah milik kerajaan negeri," katanya.
Menurut saksi itu, Guan Eng bertemu Zarul beberapa kali antara Januari hingga Mac 2011, di mana mereka bertukar nombor telefon dan Lim menjemputnya membincangkan potensi projek di Pulau Pinang.
"Guan Eng mencadangkan agar Zarul mengatur satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BUCG dan kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan menyatakan bahawa projek terowong itu akan diberikan melalui rundingan terus sekiranya beliau berjaya menganjurkan majlis berkenaan.
"Guan Eng kemudian meminta 10 peratus daripada keuntungan projek, dan Zarul bersetuju," katanya.
Tambah Zulhilmi, tertuduh tidak menamakan BUCG ketika membentangkan cadangan projek terowong itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Januari 2011, walaupun telah bertemu Zarul lebih awal bulan tersebut.
Guan Eng hanya memaklumkan bahawa sebuah syarikat swasta berminat membangunkan projek terowong di Pulau Pinang dan mencadangkan ia dijalankan melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) tanpa beban kewangan kepada kerajaan negeri.
Menurut saksi itu lagi, pada Mac 2011, satu MoU telah ditandatangani antara kerajaan negeri dan BUCG, sebelum sebarang tender terbuka dipanggil.
"Siasatan saya mendapati tujuan MoU itu adalah bagi memudahkan penganugerahan terus kepada BUCG. Dokumen itu langsung tidak menyebut mengenai proses tender terbuka," katanya.
Walaupun Guan Eng kemudian mendakwa projek itu dijalankan melalui tender terbuka, katanya, tindakan dan arahan tertuduh kepada pegawai kerajaan negeri menunjukkan sebaliknya.
"Keputusan untuk melantik BUCG dibuat secara tergesa-gesa dan atas kepentingan peribadi. Sejak awal lagi, Lim tidak telus mengenai proses itu," katanya.
Beliau menambah bahawa justifikasi Lim mengenai proses tender terbuka hanya bertujuan mengesahkan keputusan terdahulu yang memihak kepada BUCG.
Peguam Guan Eng bantah pernyataan saksi
Peguam bela Guan Eng, Ramkarpal Singh dan R.S.N. Rayer membantah penyataan saksi itu dengan alasan ia mengandungi pandangan dan bukannya bukti fakta.
Ramkarpal turut memohon beberapa perenggan penyataan Zulhilmi dipadamkan kerana beliau melangkaui peranan sebagai saksi fakta.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa pegawai penyiasat berhak menjelaskan asas kepada kesimpulannya memandangkan beliau menjalankan siasatan kes berkenaan.
Hakim Azura menangguhkan keputusan terhadap bantahan itu tetapi membenarkan saksi meneruskan pembacaan penyataannya buat sementara waktu.
Guan Eng, 63, didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta suapan daripada Zarul berhubung projek bernilai RM6.3 bilion bagi pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut yang menghubungkan Pulau Pinang ke tanah besar.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.
Sumber :Berita Harian Online