Projek RM1.1 bilion dengan ARM Plc: Bekas pembantu Rafizi, James Chai sambung beri keterangan esok

Tarikh: 29/04/2026
img

PUTRAJAYA: Bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai akan menyambung keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan proses merakam keterangan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 akan disambung esok.

"Saksi (Chai) dilepaskan pada jam 6.30 petang tadi dan akan disambung lagi esok jam 10 pagi," katanya ringkas.

Chai yang juga penganalisis politik dan kini menetap di London dicari SPRM sejak Mac lalu, tiba di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada jam 10 pagi tadi.

Hari ini, Chai memberi keterangan selama lapan jam kepada SPRM bagi membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.

Beliau bagaimanapun enggan ditemubual pengamal media yang berada di luar Ibu Pejabat SPRM.

Pada 1 April, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor itu dengan SPRM bersedia menanggung kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.

Pada 16 Februari, SPRM membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Arm Holdings dianggar bernilai RM1.1 bilion.

Menurut sumber, siasatan dijalankan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Selain itu, siasatan turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing tersebut selepas berhenti daripada sebuah kementerian.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel