KUALA LUMPUR: Cadangan projek rintis penubuhan Kadet Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekolah secara berperingkat berupaya melahirkan keberanian dalam kalangan generasi muda untuk menolak rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, usaha menyemai budaya membenci rasuah perlu dimulakan sejak usia muda kerana pendidikan adalah benteng paling berkesan dalam membentuk masyarakat berintegriti.
"Usaha menyemai budaya membenci rasuah perlu dimulakan sejak usia muda kerana pendidikan adalah benteng paling berkesan dalam membentuk masyarakat yang berintegriti.
"Rasuah bukan sekadar isu penguatkuasaan, malah cabaran nilai dan budaya yang perlu ditangani melalui pendidikan berterusan.
"Penubuhan Kadet SPRM di sekolah berpotensi menjadi platform penting untuk melahirkan generasi muda yang memahami nilai amanah, integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab sebagai warganegara," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, MCW turut menghargai pendekatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang memilih untuk memulakan projek ini secara kecil-kecilan dan berperingkat.
"Pendekatan ini membolehkan keberkesanan modul, silibus dan kaedah pelaksanaan dinilai terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh negara," katanya.
Dalam pada itu, Jais berkata, MCW berharap pelaksanaan Kadet SPRM mendapat kerjasama pelbagai pihak bagi menjadikannya gerakan nasional membudayakan integriti.
Jais berkata, MCW bersedia bekerjasama dengan SPRM dalam pendidikan, latihan kepimpinan, dialog integriti dan pembangunan modul antirasuah untuk golongan muda.
"MCW percaya bahawa membentuk seorang pelajar yang membenci rasuah hari ini jauh lebih berkesan dan murah berbanding menyiasat seorang penjawat awam atau pemimpin yang terlibat dengan rasuah pada masa hadapan.
"Masa depan Malaysia yang bebas rasuah bergantung kepada sejauh mana kita berjaya membentuk generasi muda yang menjadikan integriti sebagai cara hidup," katanya.
Media melaporkan, SPRM mempergiat usaha melahirkan generasi muda yang berintegriti menerusi pelaksanaan projek rintis penubuhan Kadet SPRM di sekolah-sekolah sebagai langkah menyemai budaya benci rasuah sejak usia muda.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, inisiatif itu akan dimulakan secara berperingkat melalui beberapa sekolah terpilih sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Sumber : Berita Harian Online