GEORGETOWN: Polis sedang menyiasat hantaran tular di media sosial mendakwa anggota trafik memeras ugut dan menerima rasuah ketika sekatan jalan raya dijalankan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hantaran berkenaan dikesan pihaknya 22 November lalu.
"Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung perkara berkenaan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Rozak, pada masa sama aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta tatatertib anggota polis trafik terbabit turut dimasukkan dalam skop siasatan.
Terdahulu, tular satu hantaran di platform Threads mendakwa diminta membayar sejumlah wang oleh seorang anggota polis trafik ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di kawasan Relau di sini, pada Jumaat lalu.
Individu berkenaan mendakwa anggota polis terbabit meminta wang sebagai jalan penyelesaian bagi mengelak tindakan saman berhubung tindakan membawa tangga sepanjang kira-kira 150 sentimeter dan peralatan lain di dalam keretanya.
Sumber : Berita Harian Online