Kluang: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang anggotanya dipercayai terbabit dalam kejadian memeras ugut dan meminta rasuah daripada orang awam di daerah ini, Rabu lalu yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata hantaran menerusi aplikasi Threads memaparkan kejadian itu dikesan pada kira-kira 11 pagi semalam dan telah menimbulkan pelbagai persepsi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut termasuk dari aspek tatatertib terhadap anggota polis yang terlibat.
"Insiden dipercayai berlaku pada 12.20 tengah malam, 5 Ogos lepas di jalan berhampiran sebuah pasar raya besar di Bandar Newpark, Kluang.
"Bagi pihak IPD Kluang, kami tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati mencemarkan imej PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
Sumber : MyMetro