Polis Kluang siasat dakwaan anggotanya terbabit kes ugut, minta rasuah

Tarikh: 10/08/2026
img

KLUANG: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang anggotanya dipercayai terbabit kejadian memeras ugut dan meminta rasuah daripada orang awam di daerah ini, Rabu lalu yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata hantaran menerusi aplikasi Threads memaparkan kejadian itu dikesan pada kira-kira jam 11 pagi semalam dan menimbulkan pelbagai persepsi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut termasuk dari aspek tatatertib terhadap anggota polis yang terbabit.

"Insiden dipercayai pada jam 12.20 tengah malam, Rabu lalu di jalan berhampiran sebuah pasar raya besar di Bandar Newpark, Kluang.

"Bagi pihak IPD Kluang, kami tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati mencemarkan imej PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.


Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel