SHAH ALAM - Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bukan sahaja mampu bertindak sebagai penyumbang kepada pembentukan jati diri tetapi juga dapat menolak rasuah serta korupsi pada setiap belia yang menyertainya.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, pelaksanaan program tersebut amat bagus memandangkan belia adalah individu yang bakal menggalas tanggungjawab memerintah negara pada masa hadapan.
“Golongan itu memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat bertamadun yang bencikan rasuah dan salah guna kuasa.
“Sebagai pemimpin masa hadapan, belia seharusnya membentuk jiwa kepimpinan berintegriti sedari usia tunas kerana mereka yang akan menentukan hala tuju negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, golongan belia khususnya penuntut institut pendidikan tinggi (IPT) yang bakal mentadbir dan menerajui negara pada masa hadapan akan menjadi penentu dalam usaha membanteras gejala rasuah serta menangani isu integriti dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, golongan muda perlu menjadi ejen perubahan sekali gus membangunkan Malaysia ke arah yang lebih baik.
Mengulas mengenai inisiatif kerajaan menyemai rasa benci rasuah dalam diri belia, Zairudin Hashim berkata, banyak program libat urus dan pendekatan semasa yang lebih relevan boleh diaplikasikan kepada golongan belia.
“Kerajaan boleh anjurkan kejohanan e-sukan yang diselitkan unsur benci rasuah.
“Bukan itu sahaja, kesedaran juga boleh dibentuk dengan melantik duta daripada kalangan pempengaruh yang mempunyai rekod latar belakang bersih dan cemerlang khususnya dalam pelajaran serta gaya hidup.
“Mungkin juga boleh kerjasama dengan para pencipta kandungan media sosial untuk hasilkan filem pendek atau karya interaktif yang mempunyai mesej penting dalam menyedarkan anak muda akan kotor dan jijik rasuah,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian