Pesara JPJ dipenjara 60 bulan dan denda RM60,000 atas enam tuduhan rasuah

Tarikh: 24/09/2025
img

MELAKA: Seorang pesara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijatuhi hukuman penjara berjumlah 60 bulan dan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas enam tuduhan rasuah berkaitan penguatkuasaan kesalahan lori melebihi muatan kira-kira lapan tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan Mohd Rafi Abd Rahman, 61, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut mendapati tertuduh gagal mematahkan anggapan mengikut Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang terpakai bagi pertuduhan Seksyen 16(b)(B) akta sama.

"Tertuduh dijatuhi hukuman 10 bulan penjara dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan," katanya, hari ini.

Hukuman penjara diperintah berjalan serentak bermula hari ini, menjadikan tempoh keseluruhan selama 10 bulan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rafi didakwa memberi suapan RM600 selama enam bulan kepada seorang pemeriksa kereta motor Gred AB29 di JPJ Melaka.

Ia sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang mempunyai pelekat Pepsi atau Saudagar atas kesalahan melebihi muatan, iaitu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kereta JPJ Bukit Katil di sini, antara 1 Julai 2018 hingga 31 Disember 2018.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, dalam hujahnya memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan menegaskan rasuah adalah kesalahan serius yang memberi kesan buruk kepada sistem penguatkuasaan negara.

"Sebagai penjawat awam yang diamanahkan menguatkuasa undang-undang, tertuduh bersekongkol dalam sindiket membabitkan orang awam, orang tengah dan pengusaha lori demi mengelak tindakan undang-undang," katanya.

Katanya, hukuman ringan tidak akan memberi kesan pencegahan dan pengajaran yang sewajarnya kepada tertuduh yang bersara tahun ini.

Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon hukuman ringan atas alasan ia kesalahan pertama anak guamnya yang turut menyara isteri selain faktor pencennya kini disekat.

Sementara itu, peguam turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman bagi memfailkan rayuan namun dibantah pihak pendakwaan.

Pendakwaan menghujahkan jaminan wajar dinaikkan jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan penangguhan.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dengan syarat notis rayuan perlu dikemukakan hari ini manakala jumlah jaminan RM12,000 dikekalkan.


Sumber :Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel