Persaraan bukan titik noktah, tetapi satu penghijrahan - Azam Baki

Tarikh: 07/05/2026
img

BANGI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata persaraan bukanlah suatu titik noktah, tetapi suatu penghijrahan dan permulaan baharu dalam siri episod kehidupan.

Beliau yang akan menamatkan perkhidmatan dalam tempoh kira-kira seminggu lagi, sebaliknya berkata pesara kerajaan adalah aset penting yang menyumbang kepada khidmat bakti dan bukannya demi legasi peribadi.

Justeru, katanya jasa pesara kerajaan akan terus dikenang melampaui waktu perkhidmatan.

"Oleh itu, jadikan kehidupan baharu yang bakal dilalui ini sebagai satu kehidupan yang lebih bermakna. Teruskan kekal aktif melalui gaya hidup sihat.

"Selain kecergasan fizikal, penjagaan kesihatan mental dan emosi amat penting untuk memastikan kehidupan yang sejahtera selepas bersara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi SPRM 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, di sini, hari ini

Menurut Azam, majlis bertemakan "Integriti Dijunjung, Budi Disanjung" ini diadakan sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan warga kerja yang berkhidmat dengan gigih demi menjaga nama baik organisasi dan kedaulatan negara.

"Setinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan atas segala khidmat bakti yang diberikan selama ini kepada SPRM," katanya.

Dalam majlis itu, wakil pesara SPRM, Datuk Zainol Darus turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan tertinggi dan seluruh warga SPRM atas segala bimbingan serta tunjuk ajar yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

"Kami akan terus menjunjung nilai integriti dalam kehidupan seharian dan berusaha menjadi contoh yang baik dan teruskan berbudi kepada masyarakat" katanya.

Seramai 36 daripada 51 orang pesara dan bakal pesara pada tahun ini diraikan dalam majlis pada hari ini.

Majlis turut memberikan penghormatan kepada lima warga kerja SPRM yang meninggal dunia sewaktu dalam perkhidmatan pada 2025 dan 2026.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin; barisan pengarah-pengarah Kanan, pengarah-pengarah bahagian dan negeri.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel