Permohonan Badan Peguam cabar DNAA Ahmad Zahid ditangguh

Tarikh: 10/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan pendakwaan menghentikan prosiding kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, ditangguhkan.

Hakim Alice Loke Yee Ching membenarkan penangguhan itu selepas peguam utama Badan Peguam, Datuk S Ambiga memaklumkan kepada mahkamah, bahawa Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 Oktober depan untuk mendengar permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 7 Mei lalu.

"Kami berpendapat kita perlu menunggu sehingga permohonan undang-undang berkenaan diputuskan sebelum meneruskan permohonan ini. Jadi, kami memohon penangguhan prosiding hari ini," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang mewakili Peguam Negara berkata, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan itu memandangkan prosiding di Mahkamah Persekutuan akan menentukan ujian undang-undang yang terpakai bagi semakan kehakiman dalam hal membabitkan budi bicara pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Oktober depan untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan berkaitan keputusan prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 untuk menghentikan prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang sebelum itu menolak permohonan Badan Peguam mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu.

Ahmad Zahid yang juga responden kedua dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu kemudian memfailkan permohonan berasingan pada 25 Mei lalu bagi mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan kebenaran merayu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memfailkan permohonan berasingan dengan membangkitkan dua persoalan penting perundangan membabitkan kuasa budi bicara Pendakwa Raya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memohon semua prosiding di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu keputusan permohonan bagi kebenaran merayu itu.

Badan Peguam memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membenarkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi adalah terbatal serta tidak sah.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti baharu. -- BERNAMA

MACC FM
My Anti-Corruption Channel