KUALA LUMPUR: Kedudukan Perlis sebagai negeri sempadan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu antara barisan penting dalam membendung rasuah dan penyeludupan rentas sempadan yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata SPRM Perlis perlu menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dalam memantau serta mengesan kegiatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang boleh menjejaskan keselamatan pintu masuk negara.
Katanya, kedudukan Perlis yang bersempadan dengan negara jiran turut mendedahkan negeri itu kepada cabaran strategik, khususnya risiko rasuah dan aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
"Keadaan itu menuntut warga SPRM Perlis supaya sentiasa proaktif, tangkas dan berwaspada dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak.
"Tidak ada kompromi terhadap sesiapa, tanpa memilih individu atau fahaman politik.
"Kita perlu terbuka dengan apa yang berlaku di luar sana dan melaksanakan tugas berdasarkan integriti serta hukum," katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke SPRM Perlis, hari ini.
Turut hadir Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff; Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Perlis, Hairul Hafiz Bohari; dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Perlis, Mohamad Razif Ab Rased.
Abd Halim menegaskan tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara adil dan saksama, manakala setiap siasatan hendaklah dijalankan secara profesional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
"Tidak perlu tangkapan yang banyak tetapi tidak ada hasil. Kita perlu selaraskan tangkapan dengan pendakwaan dan memastikan setiap tindakan memberikan impak yang sebenar," katanya.
Beliau berkata, kejayaan SPRM tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah tangkapan atau tindakan yang diambil semata-mata, sebaliknya berdasarkan sejauh mana tindakan berkenaan memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
Katanya, warga SPRM Perlis perlu terus mengutamakan integriti, keadilan dalam penguatkuasaan, usaha pencegahan, penggunaan teknologi serta ketelusan bagi memastikan kepercayaan rakyat terus terpelihara.
"Kita kena tambah baik dalam pencegahan agar lebih ramai masyarakat tahu. Adakan sesi dialog yang interaktif antara audiens dan SPRM, daripada peringkat sekolah sehinggalah jabatan," katanya.
Sementara itu, Mohd Nor Adha berkata, lawatan berkenaan mencerminkan penghargaan terhadap usaha warga SPRM Perlis, selain memberi ruang kepada pegawai menyampaikan pandangan dan cadangan mereka.
Katanya, SPRM Perlis terus menjalankan tugas penguatkuasaan, manakala sebanyak 16 syor penambahbaikan jabatan sudah dikemukakan bagi memperkukuh aspek tata kelola setakat 31 Julai lalu.
"Ini memperlihatkan fokus SPRM Perlis bukan sahaja kepada penguatkuasaan, tetapi turut menutup ruang dan kelemahan sistem yang boleh membuka peluang kepada rasuah," katanya.
Dalam aspek pencegahan, beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat turut dipelbagaikan menerusi program seperti wayang kulit, pengedaran poster dan risalah serta pameran berkaitan pencegahan rasuah.
Lawatan kerja itu turut memberi peluang kepada pengurusan tertinggi SPRM menyelami situasi dan cabaran warga SPRM Perlis di lapangan, selain mendapatkan gambaran bagi menyusun strategi serta keperluan organisasi dengan lebih berkesan.
Lawatan berkenaan diadakan bersempena sesi menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Sumber : Berita Harian Online