KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah berkait projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, akan bersambung pada 22 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.
Hakim Rosli Ahmad adalah hakim baharu yang mendengar perbicaraan kes Wan Saiful, bagi menggantikan Hakim Rozina Ayob yang telah berpindah pada 15 Ogos lalu.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Amirah Muhammad Ali, turut memaklumkan bahawa ketua pendakwaan kes itu juga telah bertukar dan pihaknya memerlukan masa untuk berbincang dengan ketua pendakwaan yang baharu.
"Untuk makluman mahkamah, pasukan pendakwaan kini diketuai TPR Dr Ifa Sirrhu Samsudin yang baru melapor diri ke SPRM pada 15 Ogos lalu.
"Pihak pendakwaan juga telah memasukkan satu surat memohon penangguhan kes pada minggu ini, mengambil kira ketua pasukan pendakwaan baru sahaja melaporkan diri dan diarah mengambil alih kes ini bagi menggantikan TPR Rasyidah Murni Azmi yang telah berpindah keluar (ke Jabatan Peguam Negara).
"Oleh itu, beliau (Ifa) mohon sedikit masa untuk meneliti dokumen-dokumen sebelum bicara bermula, mengambil kira bahawa kes ini berkepentingan tinggi dan saksi-saksi terbabit adalah saksi-saksi penting," kata Siti Amirah pada sebutan kes kali pertama di hadapan hakim baharu itu.
Siti Amirah berkata, kes berkenaan dibicarakan sejak 25 Mac lalu dengan sembilan saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan, dan secara keseluruhan pihak pendakwaan mempunyai 50 saksi.
Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful pula berkata, pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan serta mengambil maklum mengenai pertukaran hakim dan TPR.
Rosli kemudian melapangkan tarikh perbicaraan pada 20, 21 dan 23 Ogos ini.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.
Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku, di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sumber: Berita Harian