IPOH: Seorang penyelia restoran di Teluk Intan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan Imigresen, semalam.
Tertuduh, Heng Siou Wei, 33 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah memberi suapan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.
Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja-pekerjanya yang tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia di bawah kesalahan seksyen 6 (1) ( c ) Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar syarat pas atau permit di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak beralamat di Kompleks KDN, Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya, Ipoh, kira-kira jam 3 pagi, 12 Sept 2024.