Penolong Pengarah Kastam didakwa terima rasuah RM15,000 tutup kertas siasatan

Tarikh: 06/07/2026
img

SHAH ALAM: Seorang penolong pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memperoleh suapan RM15,000 sebagai balasan menutup satu kertas siasatan dikendalikannya, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Fareez Akmal Md Yusuf, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Fareez Akmal yang bertugas di Unit Siasatan Penipuan Perdagangan, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuala Lumpur, didakwa memperoleh wang tunai RM15,000 daripada seorang lelaki berusia 50 tahun sebagai dorongan untuk menutup satu kertas siasatan yang sedang disiasatnya, di kawasan parkir di SS4, daerah Petaling, pada 29 Jun lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000, selain mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport, melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak menghubungi atau mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam, Azrul Zulkifli Stork, dalam rayuan mengurangkan jaminan kepada RM5,000 berkata anak guamnya berpendapatan RM4,500 sebulan dan pencari nafkah tunggal kepada isterinya yang berusia 38 tahun, dua anak masing-masing berusia sembilan dan enam tahun, selain ibu bapa serta ibu mentua yang tua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes.


Sumber : Berita harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel