KANGAR: Penolong akauntan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM416,503.91 antara 2020 hingga 2024.
Rohaliza Roais, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.
Dia didakwa sebagai pengurus akaun Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Perlis secara tidak jujur menggunakan wang terimaan milik PPK berjumlah RM116,299.61 pada 2020 dengan melanggar prosedur sistem merekod penerimaan tunai.
Dia berhadapan empat lagi pertuduhan membabitkan nilai RM83,207.60 pada 2021, RM86,890.20 (2022), RM87,369.75 (2023) dan RM42,736.75 (2024) dengan semua kesalahan didakwa dilakukan di PPK itu, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis setiap bulan, selain perlu menyerahkan pasport dan pas sempadan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Mac untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid dan Pegawai Pendakwa S Sujatha daripada SPRM, manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Ghazali Cha.
Sumber : Berita Harian Online