Peniaga nafi beri suapan RM53,000 elak kakitangan TNB ambil tindakan

Tarikh: 09/03/2026
img

BUTTERWORTH: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, atas dua pertuduhan memberi suapan wang tunai RM53,000 kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Tiang Soon Ying, 40, mengaku tidak bersalah dan memohon kedua-kedua kes itu dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.



Mengikut kedua-dua pertuduhan, Soon Ying yang juga bapa empat anak itu didakwa secara rasuah memberikan suapan wang tunai masing-masing RM10,000 dan RM43,000 kepada Mohd Ashraf Mohd Yunus,42, yang bertindak bagi pihak TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa premis sekitar Manjung dan Setiawan, Perak.

Ia susulan premis itu disyaki digunakan untuk kesalahan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana mengganggu, mengambil dan menggunakan elektrik termasuk merosakkan pepasangan milik TNB.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Bayview, Georgetown, di sini, pada 5 Januari 2021, jam 3.30 petang dan jam 10.30 malam 15 September 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Perak, Sharul Aznan Ghazali dan Mohd Afiq Mohd Adnan, manakala tertuduh diwakili peguam Hong Chong Hang.

Sharul Aznan menawarkan jaminan RM50,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memohon kedua-dua kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak untuk sebutan berikutan terdapat pertuduhan lain dihadapi Soon Ying sebelum ini di mahkamah terbabit, malah semua saksi juga ada di Perak.

Dalam rayuan, Chong Hang meminta jaminan minimum dengan alasan anak guamnya menyara isteri tidak bekerja, empat anak berusia tiga hingga 17 tahun yang masih bersekolah, selain ibu bapa berusia 70 dan 72 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan meminta tertuduh mengikut syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Zulhazmi turut menetapkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh supaya sebutan ditetapkan pada 18 Mac depan bagi kes sebelum itu dapat berjalan serentak dengan dua pertuduhan baharu dihadapi tertuduh, hari ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel