TAWAU: Seorang peniaga didenda RM6,600 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Tawau, hari ini atas empat pertuduhan menawarkan suapan kepada pihak polis, tiga tahun lalu.
Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman itu kepada Tai Nyuk Kong, 45, selepas mengaku salah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut semua pertuduhan, tertuduh gagal melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan satu suapan bernilai RM200 dan RM500 kepada pegawai polis pada 19 April hingga 2 Jun 2021
Kesemua tindakan itu dilakukan sebagai balasan untuk tidak mengganggu aktiviti penjualan tiket judi haram di sekitar daerah Tawau.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (3) Akta Suruhanjaya Pengegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(4) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee dibantu pegawai pendakwa, Norsham Saharom memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh membabitkan kes berkepentingan awam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,600 bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh dipenjara sehingga tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Nyuk Kong kemudian membayar denda dikenakan.
Sumber: Utusan Borneo Online