Pengubahan wang haram: 4 termasuk CEO syarikat penyiaran direman 3hari.

Tarikh: 13/01/2025
img

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat penyiaran di Sarawak bersama anaknya, direman tiga hari bermula hari ini berkaitan kes pengubahan wang haram.

Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata seorang lagi anak CEO terbabit yang turut ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Siasatan kini tertumpu kepada transaksi aliran wang mencurigakan yang dilakukan suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Razarudin mengesahkan lima individu berusia 26 hingga 65 tahun termasuk seorang wanita, ditahan menerusi Op Ragada termasuk CEO sebuah stesen penyiaran di Sarawak kerana disyaki terbabit kes pengubahan wang haram.

Semua suspek ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman menerusi OP Ragada dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Hasil serbuan, pasukan berkenaan berjaya merampas, membekukan dan menyita aset-aset seperti kenderaan, akaun bank serta dokumen-dokumen dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM17 juta.

Menurut Razarudin pada Oktober lalu, pihaknya menerima maklumat berkaitan laporan kewangan pemindahan mencurigakan yang dikenal pasti melalui beberapa akaun bank dari 2017 hingga September 2024 sebelum membuat siasatan.

Siasatan kemudian dijalankan Unit Pengesanan Aset Dan Analisa, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman.

Hasil siasatan mendapati mereka menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri serta ahli keluarga.

Sumber : Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel