IPOH: Seorang anggota penguat kuasa direman kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM190,000 daripada sebuah syarikat pembungkusan minyak masak sebagai balasan membantu proses permohonan kuota subsidi minyak masak.
Menurut sumber, rasuah terbabit juga diberi sebagai sogokan supaya tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadap syarikat tersebut.
Penolong Kanan Pendaftar Mohd Shazmeer Zamhari memerintahkan suspek berumur 40-an itu direman tiga hari bermula hari ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi tadi.
Lelaki itu ditahan kira-kira 5 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Taiping.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2026.
"Suspek dipercayai menerima wang rasuah melalui 19 keping cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi miliknya," kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA
Sumber : Berita Harian Online