KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang keterlaluan boleh memberi kesan kepada keberkesanan pembuktian kes di mahkamah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpendapat kebergantungan kepada AI tanpa kehadiran pakar perlu dihadkan khususnya dalam membabitkan sudut teknikal, undang-undang dan etika.
Pengarah Bahagian Forensik Teknologi SPRM, Wan Zulkifli Wan Jusoh, berkata AI sangat membantu dalam mempercepat pengesanan bukti digital kerana keupayaannya dalam menapis data besar dan mengenal pasti hubungan tersembunyi dan anomali yang sukar dilihat secara manual.
"AI membantu meningkatkan kualiti imej dan video yang kabur melalui teknik image enhancement dan pengecaman corak. Malah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dapat diperjelas untuk mengenal pasti suspek, menjadikan bukti lebih kukuh di mahkamah.
"Bagaimanapun, penggunaan AI datang bersama cabaran besar daripada sudut teknikal, undang-undang dan etika.
"Kebergantungan sepenuhnya kepada AI tanpa kepakaran manusia boleh menyebabkan kesilapan tafsiran bukti. Selain itu, kos latihan pegawai serta ketiadaan badan pengawal selia khusus turut menjadi kebimbangan," katanya.
Wan Zulkifli yang juga Pengerusi Kumpulan Kerja Forensik Digital berkata, akta sedia ada perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dalam memastikan penggunaan AI yang beretika dan telus.
"Di Malaysia, beberapa akta sedia ada menjadi asas kawal selia seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Tandatangan Digital 1997 manakala piawaian antarabangsa seperti ISO/IEC 42001:2023," katanya.
"AI hanyalah alat. Keberkesanannya bergantung kepada kepakaran manusia, integriti etika dan kerangka undang-undang yang kita bina. Jika diurus dengan bijak, AI mampu memperkukuh keadilan serta meningkatkan keselamatan negara," katanya.
Mengulas lanjut, Wan Zulkifli turut bersetuju, AI pada hari ini dilihat sebagai pemangkin baharu dalam memperkukuh keupayaan siasatan forensik digital negara, dengan keupayaan mengautomasi analisis, menapis data besar dan mengenal pasti pola jenayah lebih pantas serta tepat.
Katanya, integrasi AI membolehkan siasatan dilaksanakan lebih cekap kerana algoritma pintar berupaya mengimbas berjuta log data dalam tempoh singkat berbanding kaedah manual.
"AI menjimatkan masa penyiasatan, mengurangkan risiko kesilapan manusia dan memberi ruang pegawai menumpukan perhatian kepada analisis strategik.
"Dalam kes-kes pencerobohan sistem perbankan elektronik, AI dapat mengesan percubaan log masuk mencurigakan dari luar negara hanya dalam tempoh beberapa jam," katanya.
Sumber :Berita Harian Online