Pengerusi jawatankuasa perumahan ditahan kes rasuah RM1.6 juta

Tarikh: 08/09/2026
img

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di negeri ini kerana disyaki terbabit meminta dan menerima rasuah RM1.6 juta.

Menurut SPRM Johor, individu terbabit didapati menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.

"Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan jam 7.30 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.

"Siasatan awal mendapati, suspek disyaki melakukan semua perbuatan itu antara 2016 hingga 2025," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minta RM4,000 daripada pemohon

Individu terbabit didakwa menyalahgunakan kuasa dengan meminta kira-kira RM4,000 setiap seorang daripada 400 pemohon lot tapak rumah.

Suspek kemudian didakwa menyeleweng wang berkenaan untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A), Sesyen 18 dan Sesyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, individu terbabit akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel