KUALA LUMPUR: Seorang pengerusi sebuah badan berkanun di Pulau Pinang dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di negeri itu esok, berhubung kes penjualan tanah kerajaan pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran yang mengakibatkan kerugian RM1.96 juta.
Lelaki bergelar Datuk berusia lingkungan 50-an itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urus niaga tanah berkenaan yang membabitkan sebuah agensi di bawah kementerian.
BH dimaklumkan, dia akan dituduh pada jam 9 pagi esok di Georgetown.
Setakat ini, BH juga tidak dimaklumkan sama ada terdapat beberapa individu lain akan dituduh esok, memandangkan ketika siasatan pada Ogos lalu, terdapat empat lagi turut ditahan.
Dalam penahanan itu, selain pengerusi turut ialah dua pengarah syarikat, pengurus teknikal dan seorang kerani wanita.
Dalam siasatan itu, suspek pertama ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi agensi terbabit dan juga Ahli Lembaga Pengarah.
Suspek dipercayai meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Prai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
Suspek juga dipercayai menggunakan kedudukannya dengan terbabit meluluskan penjualan tanah itu pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta.