Pengerusi agensi bergelar Datuk, empat individu direman empat hari kes jual tanah kerajaan bawah harga pasaran

Tarikh: 21/08/2026
img

GEORGETOWN: Lima individu termasuk pengerusi agensi negeri bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penjualan tanah kerajaan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Majistret Noor Idayu Salim membenarkan perintah reman sehingga Isnin depan selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Peguam mewakili individu terbabit, Dr Shamsher Singh Thind, ketika ditemui media, berkata pihak SPRM pada awalnya memohon kebenaran tempoh tujuh hari, selain memberitahu bahawa ia adalah kes pada 2015.

Beliau berkata, beliau difahamkan pihak berkuasa kini sedang menyiasat aduan baharu yang dibuat pada 17 Ogos lalu yang didakwa mengemukakan perkembangan baharu dan membawa kepada siasatan semula kes berkenaan.

"Perkara itu dipercayai berkaitan dengan pertikaian terdahulu pada 2015 mengenai penjualan tanah kepada sebuah syarikat yang pengarahnya telah bertukar kemudiannya.

"Perkara ini sebenarnya telah pun diselesaikan sebelum ini, yang mana diskaun Bumiputera sebanyak 10 peratus telah dipulangkan semula kepada agensi kerajaan berkenaan," katanya.

Shamser berkata, dua daripada mereka yang ditahan mempunyai pertalian adik beradik, manakala satu-satunya wanita yang ditahan adalah isteri kepada seorang daripada individu berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan lima individu terdiri daripada seorang Pengerusi, dua pengarah syarikat, pengurus teknikal dan kerani wanita kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang.

Suspek pertama seorang Pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk berusia lingkungan 50-an ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan (SPS) pada 2015 kepada syarikat yang disyaki milik sekutunya.

Suspek terbabit juga dipercayai menggunakan kedudukannya dengan terbabit meluluskan penjualan tanah berkenaan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta.


Sumber ; Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel