Peneroka durian di Pahang ditahan SPRM kes ubah wang haram

Tarikh: 15/10/2025
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang peneroka haram durian kerana disyaki terbabit pengubahan wang haram.

BH difahamkan, suspek yang berusia lingkungan 60-an itu melakukan kesalahan itu dengan memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang hasil daripada tanaman durian yang diusahakan di atas tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di Pahang.

Sumber berkata, lelaki itu ditahan kira-kira jam 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Raub.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2024 hingga 2025 dan memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

"Tangkapan ini rentetan penahanan lima pengusaha kebun haram berhubung kes sama baru-baru ini," katanya.

BH sebelum ini mendedahkan ratusan rakyat Malaysia dipercayai kerugian mencecah jutaan ringgit selepas terpedaya pelaburan dalam satu skim pemasaran durian Musang King di sebuah negara.

Pelaburan dipromosikan itu mampu menjana keuntungan luar biasa, namun tidak memberi sebarang pulangan walaupun didakwa mempunyai modul perniagaan yang meyakinkan.

Pelabur diyakinkan untuk melabur sehingga ratusan ribu ringgit dengan mengambil kesempatan terhadap durian Musang King yang mendapat pasaran meluas di banyak negara, khususnya China.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek dan saksi-saksi berkaitan," katanya memaklumkan suspek kemudian dilepaskan selepas keterangan diambil.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel