PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah merakam keterangan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berhubung pendedahan video terbaharu oleh ahli perniagaan bernama Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan kes itu masih berjalan dan setakat ini seramai 10 saksi sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
"Ia termasuk Datuk Seri Dr Jeffrey sendiri sudah dipanggil serta pegawai-pegawainya. Bagi Albert Tei pula, kita akan hubungi beliau untuk diambil keterangan.
"Saksi-saksi lain kita akan teruskan dan diberitahu kepada saya ada video-video baharu yang dikeluarkan dalam satu portal dan kita akan melihat pada keterangan yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-58 dan Peluncuran 'Keep Malaysia Clean' di sini, hari ini.
BH sebelum ini melaporkan Azam mengarahkan pegawainya di Sabah untuk segera membuka kertas siasatan terhadap video yang dikaitkan dengan pemimpin kanan negeri itu.
Malah, Azam ketika dihubungi BH berkata, beliau mengarahkan SPRM Sabah untuk menyiasat segera pendedahan yang didakwa dilakukan oleh Albert Tei itu.
Sebelum ini, portal berita Malaysiakini mendedahkan satu video yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan Sabah.
Portal itu menyiarkan video pemimpin berkenaan didakwa menerima satu bayaran terbesar berjumlah lebih sejuta ringgit.