Pendakwaan rayu pembebasan Zizie Izette

Tarikh: 19/08/2026
img

KUALA LUMPUR: Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga tuduhan bersubahat dalam kes rasuah membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, 11 tahun lalu.

Pendakwa Raya yang bertindak selaku perayu memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini pada 31 Julai lalu.

Notis rayuan itu menyatakan Pendakwa Raya selaku perayu tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad pada 20 Julai lalu yang melepaskan dan membebaskan Zizie Izette di akhir kes pembelaan.

Zizie Izette yang dinamakan selaku responden dibebaskan daripada tiga tuduhan pindaan terbabit di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sehubungan itu Pendakwa Raya merayu terhadap keputusan berkenaan dan memohon di bawah seksyen 307(5) Kanun Tatacara Jenayah, salinan nota keterangan dan alasan penghakiman.

Prosiding pengurusan kes berkenaan ditetapkan esok di Mahkamah Tinggi.

Rosli membebaskan Zizie Izette yang juga isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, di akhir kes pembelaan.

Elemen subahat perlu dibuktikan

Rosli dalam penghakimannya berkata, berdasarkan otoriti, jelas menunjukkan satu daripada elemen kesalahan subahat yang perlu dibuktikan pendakwaan adalah pembuktian kesalahan prinsipal iaitu si mati (Bung Moktar) telah memperoleh rasuah iaitu satu kesalahan di bawah perenggan 17(a) Akta SPRM.

Hakim itu berkata, bagaimanapun terdapat perkembangan terbaru apabila si mati meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu dan atas permohonan pendakwaan, mahkamah memberikan perintah pelepasan dan pembebasan selaras Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, akibat perintah pelepasan dan pembebasan , si mati dianggap seorang yang tidak bersalah kerana tiada dapatan salah direkodkan terhadapnya.

Menurut Rosli, ia menyebabkan elemen pembuktian kesalahan subahat terhadap tertuduh (Zizie Izette) iaitu pesalah prinsipal dan si mati telah melakukan kesalahan rasuah, telah terjejas.

Katanya, mengguna pakai prinsip undang-undang yang diputuskan dalam kes itu bahawa jika pesalah utama dilepaskan dan dibebaskan, pesalah subahat yang dituduh melakukan kesalahan itu juga tidak boleh disabitkan atas kesalahan bersubahat.

Zizie Izette didakwa dengan tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Allahyarham Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Suapan itu didakwa sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Beliau juga dituduh bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel