KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menggesa pembinaan kekuatan integriti dapat didedahkan pada peringkat usia paling muda dan dikembangkan dalam pelbagai platform termasuk kurikulum dan advokasi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata generasi muda harus diberikan penekanan dan didedahkan berkaitan dengan antirasuah kerana perbuatan ini tidak boleh dikompromi pada setiap masa.
Justeru katanya, kerjasama strategik antara Institusi Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menghasilkan koleksi komik 'Wira Antirasuah' antara usaha untuk menerapkan nilai integriti dalam masyarakat seawal peringkat usia yang muda.
"Menerusi komik ini dan juga video-video yang dihasilkan, saya juga ingin mencadangkan ia diletakkan dalam platform Delima KPM bagi meningkatkan lagi advokasi dan kesedaran awam khususnya anak-anak berkaitan dengan antirasuah.
"Platform ini memang digunakan secara aktif oleh guru dan murid-murid, jadi apabila ada siri interaktif secara tidak langsung isu ini dapat difahami dan disebarluaskan nilai itu khususnya dalam kalangan generasi muda," katanya selepas merasmikan Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira AntiRasuah, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Koleksi komik ini adalah terjemahan Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu daripada buku asal berjudul Bribe Busters: A Trace Comic Book yang dihasilkan oleh TRACE International yang berpangkalan di Annapolis, Maryland, Amerika Syarikat.
Sementara itu, Azmi berkata, SPRM memberi sokongan penuh kepada usaha murni dalam usaha pendidikan antirasuah di sekolah sebagai asas membentuk masyarakat yang berintegriti dan jujur.
"Pendidikan juga antara satu cabang strategi SPRM selain penguatkuasaan dan pencegahan, di mana melalui Program Wira Anti Rasuah (WAR) sudah dilaksanakan sejak Februari 2014 lagi.
"Sambutan itu diterima baik di peringkat sekolah rendah dan menengah yang mana hingga April lalu, WAR sudah dijalankan di 261 buah sekolah membabitkan 79,173 murid dan 5,500 guru.
"Malah usaha KPM meneruskan inisiatif memasukkan elemen antirasuah dalam 20 buku teks Darjah Satu hingga Tingkatan Lima sejak tahun 2016 turut membantu.
"Dalam masa yang sama, SPRM juga melantik pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mengukur keberkesanan pendidikan integriti dan antirasuah di sekolah," katanya.
Sumber BH O.