Pemulihan aset 1MDB capai RM31.3 bilion, antara tertinggi dalam skandal kewangan dunia

Tarikh: 07/05/2026
img

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekali gus merekodkan antara kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi skandal jenayah kewangan berskala besar.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah itu melebihi anggaran awal sebanyak 70 peratus pemulihan atau sekitar RM30 bilion yang dinyatakan sebelum ini.

"Sehingga kini, berdasarkan data, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng adalah sebanyak RM42 bilion. Jumlah nilai aset yang berjaya diperoleh semula setakat 2025 ialah kira-kira RM31.3 bilion.

"Ini mewakili 74.5 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diseleweng dan kadar pemulihan aset 1MDB ini dianggap satu pencapaian besar yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebab mengikut piawaian antarabangsa, kebiasaannya jika dapat dikembalikan antara 60 hingga 70 peratus, adalah sesuatu (yang luar biasa)," katanya pada sidang media hari ini.

Azam berkata, setakat ini, negara berjaya memperoleh semula aset bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk hasil penjualan kapal layar mewah Equanimity bernilai kira-kira RM543 juta, pemulangan jet peribadi dan hartanah di luar negara.

Katanya, Malaysia juga berjaya mencapai penyelesaian global membabitkan institusi kewangan antarabangsa seperti Goldman Sachs, IPIC dan Aabar serta firma audit seperti Deloitte dan KPMG, yang secara keseluruhan menyumbang berbilion ringgit kepada negara.

"Pemulangan dana oleh individu dan entiti lain, termasuk melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) turut memperkukuh pencapaian ini.

"Usaha itu dilaksanakan menerusi mekanisme seperti Bantuan Perundangan Bersama (MLA), perkongsian risikan kewangan, perbincangan dua hala serta tindakan pelucuthakan aset rentas sempadan membabitkan negara termasuk AS, Switzerland, United Kingdom dan Singapura," katanya.

Beliau berkata, SPRM akan terus komited sepenuhnya untuk mengesan dan mendapatkan semula setiap aset yang diseleweng, tanpa mengira lokasi atau tempoh masa.

"Usaha ini bukan saja bertujuan memulihkan sumber kewangan negara, malah untuk mengembalikan maruah dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

"Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan setiap sen milik rakyat akan dipastikan dikembalikan," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel