KUALA LUMPUR: Pembelaan kepada bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd mendakwa Mahkamah Sesyen gagal melakukan penilaian maksimum terhadap saksi sebelum sabitan dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM284.2 juta terhadap anak guamnya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman, 67, sebagai perayu, berhujah Hakim Mahkamah Sesyen kedua yang mengambil alih kes berkenaan didakwa gagal membuat pertimbangan sewajarnya terhadap nota keterangan saksi pendakwaan awal.
Beliau berkata, daripada 70 saksi pendakwaan yang dipanggil dalam perbicaraan, Hakim Mahkamah Sesyen kedua hanya mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-64 hingga ke-70 sebelum memanggil Otman membela diri.
"Tidak ada masalah untuk seorang hakim mengambil alih kes dan ia dibenarkan dari segi undang-undang.
"Namun, persoalannya ialah adakah hakim kedua benar-benar menilai keseluruhan keterangan saksi pendakwaan, termasuk pemeriksaan balas terhadap saksi penting?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika prosiding rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Muhammad Rafique berkata, perkara berkenaan penting kerana hakim perlu membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi bagi menentukan sama ada kes prima facie telah dibuktikan.
Katanya, berdasarkan alasan penghakiman, tiada petunjuk jelas menunjukkan hakim Mahkamah Sesyen kedua menilai keterangan saksi penting selain mengambil kira pemeriksaan balas terhadap mereka.
"Persoalannya, bagaimana hakim Mahkamah Sesyen kedua sampai kepada dapatan prima facie sedangkan beliau tidak mendengar sendiri sebahagian besar keterangan saksi pendakwaan?
"Daripada alasan penghakiman itu juga, tidak dinyatakan bagaimana beliau menilai isu yang dibangkitkan terhadap saksi pendakwaan berkenaan," katanya.
Muhammad Rafique turut berhujah berlaku salah arah (misdirection) dalam penilaian keterangan apabila pembelaan berhubung hubungan antara Otman dan SP27 tidak disentuh dalam alasan penghakiman.
Katanya, SP27 ialah Pengarah Bahagian Korporat Majlis Sukan Negara (MSN) dan bukan pegawai bawahan Otman.
"Kami hujahkan tiada asas bagi pertuduhan salah guna kedudukan kerana perayu bukan ketua atau pegawai atasan kepada SP27.
"Perkara ini dibangkitkan ketika pemeriksaan balas, namun tidak wujud dalam analisa alasan penghakiman," katanya.
Beliau berkata, pembelaan sama turut dikemukakan ketika pemeriksaan balas terhadap seorang lagi saksi pendakwaan berhubung isu sama ada pembayaran dibuat bagi program yang sudah dilaksanakan.
Katanya, isu berkenaan termasuk penurunan kuasa dan tujuan pembayaran, namun tidak dibincangkan dalam alasan penghakiman.
"Maka, saya hujahkan kita hadapi situasi tidak ada penilaian maksimum berlaku dan oleh itu, perayu terlepas peluang mendapat perbicaraan yang adil.
"Saya dengan rendah diri memohon rayuan ini dibenarkan," katanya.
Pada 6 Jun 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Kamarudin Kamsun menjatuhi Otman penjara 15 tahun dan didenda RM284.2 juta selepas mendapati lelaki itu bersalah atas tuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta tuduhan pengubahan wang haram.
Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.
Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Semua pertuduhan pada asalnya didengar dan dibicarakan di hadapan Hakim Azura Alwi, sebelum perbicaraan kemudiannya diambil alih oleh Hakim Kamarudin Kamsun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal, Haresh Prakash Somiah dan Harris Ong Mohd Jeffery Ong.
Prosiding di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
Sumber : Berita Harian Online