Pembantu operasi terima rasuah RM15,000 didakwa di mahkamah

Tarikh: 11/04/2025
img

MELAKA: Seorang pembantu operasi didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,000 sebagai upah memperakui perakuan siap kerja pembaikan di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Rizuan Muhamad, 42, mengaku tidak bersalah selepas dibacakan dan diterangkan semua pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rizuan sebagai pembantu operasi N11 yang memangku tugas pembantu kemahiran H19 di Kolej Matrikulasi Melaka (ketika kejadian) didakwa meminta suapan untuk dirinya berjumlah RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga dekat sini, pada 14 Ogos 2022.

Ia sebagai dorongan untuk memperakui Perakuan Siap Kerja bagi Kerja Pembaikan Jenang dan Frame Tingkap Nako Asrama serta Lain-Lain Kerja di institusi berkenaan bernilai RM484,580.

Bagi dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan masing-masing RM2,000 dan RM3,000 daripada individu sama bagi tujuan sama serta di tempat sama pada 15 Ogos dan 28 September 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 24(1) akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Peguam Mohd Nazri Abd Hamid merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh kini berkhidmat di sekolah rendah dengan pendapatan RM2,800 sebulan, selain menanggung isteri dan ibu yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 berserta syarat dimohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan selesai dan menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes itu.


Sumber BH Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel