KUALA LUMPUR: Peguam Datin Seri Pamela Ling Yueh sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan wanita itu yang sepatutnya hadir membantu siasatan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April lalu.
SPRM berkata, wanita itu sepatutnya hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada hari berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Namun katanya, Pamela gagal hadir dan tidak dapat dihubungi oleh pegawainya.
"Wanita itu gagal hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada tarikh itu serta peranti komunikasinya gagal dihubungi oleh pegawai SPRM.
"Satu laporan polis turut dibuat oleh peguam yang mewakili wanita itu mengenai kehilangannya pada hari yang sama," kata SPRM dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
SPRM berkata, ketika ini pihaknya akan menyerahkan usaha mengesan wanita terbabit kepada pihak PDRM berdasarkan laporan polis yang telah dibuat.
"Mana-mana pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat daripada sumber berita yang tidak sahih dan memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa hari ini dilaporkan berkata, pihaknya mengklasifikasikan kehilangan Pamela yang dijadualkan hadir ke pejabat SPRM Putrajaya pada 9 April lalu bagi memberi keterangan berkaitan satu siasatan, sebagai kes culik.
Beliau juga mengesahkan tidak menerima sebarang tuntutan wang tebusan membabitkan Pamela.
Media sebelum ini melaporkan, Pamela menaiki kenderaan e-hailing dari kediamannya di Cheras sebelum dikatakan dipintas sekumpulan lelaki.
Menurut ahli keluarganya, wanita itu menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada jam 1.57 tengah hari memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba jam 2.08 petang.
Susulan itu, polis turut mengesahkan, sudah merakam percakapan beberapa individu termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa bagi membantu siasatan menyeluruh kes berkenaan.