Pegawai SPRM perlu tingkat kompetensi, kuasai teknologi, kaedah penyiasatan semakin mencabar - LPPR

Tarikh: 17/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Cabaran rasuah yang semakin kompleks pada masa kini menuntut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memperbaharui ilmu, meningkatkan kompetensi dan menguasai teknologi serta kaedah penyiasatan yang sentiasa berkembang.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Datuk Dr Mohd Kassim Noor Mohamed, berkata cabaran itu menuntut pegawai SPRM memperbaharui ilmu, meningkatkan kompetensi dan menguasai teknologi serta kaedah penyiasatan yang sentiasa berkembang.

Susulan itu, beliau berkata, peranan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) menjadi penting sebagai sebuah institusi yang amat strategik.

"MACA bukan sekadar pusat latihan, tetapi institusi pembangunan profesional yang bertanggungjawab membentuk pegawai SPRM yang kompeten, berfikiran strategik, beretika tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

"LPPR menyokong dan amat berminat mengikuti perkembangan program dilaksanakan MACA dalam memperkukuh keupayaan pegawai SPRM serta memperluaskan jaringan kerjasama pada peringkat nasional serta antarabangsa," katanya yang mewakili Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pada Sesi Libat Urus LPPR bersama MACA SPRM di Bilik Mesyuarat, Blok Utama MACA, di sini.

Pada sesi libat urus itu, ahli LPPR turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperluaskan peranan MACA, antaranya menawarkan lebih banyak kursus kepada agensi kerajaan, sektor swasta dan peserta antarabangsa.

Selain itu, LPPR mencadangkan penganjuran persidangan kesan rasuah sebagai platform perkongsian ilmu dan peningkatan kesedaran awam, selain mengesyorkan MACA membantu kementerian serta agensi berisiko tinggi terdedah kepada rasuah memperkukuh tadbir urus menerusi latihan untuk tujuan pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Sementara itu, Pengarah Kanan MACA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, MACA komited memperkukuh kedudukannya sebagai institusi latihan antirasuah yang diiktiraf peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik.

Beliau berkata, MACA kini dalam usaha mendapatkan pensijilan antarabangsa bagi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sebelum diperluaskan kepada peserta dari luar negara sebagai sebahagian daripada usaha mengangkat kepakaran Malaysia dalam bidang integriti dan antirasuah.

"MACA turut menambah baik modul kursus siasatan bagi memastikan kandungannya sentiasa relevan dengan cabaran semasa dan memenuhi keperluan penguatkuasaan semakin kompleks," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, MACA sudah menerima geran peruntukan daripada Kementerian Luar untuk menganjurkan program Executive Leadership Training on Anti-Corruption yang menyasarkan peserta dari negara membangun yang berkepentingan strategik, sekali gus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi rasuah.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel