Pegawai polis ditahan SPRM kerana minta suapan keluarga mangsa rogol

Tarikh: 08/04/2025
img

KOTA BHARU: Seorang pegawai polis dikenakan perintah reman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes berhubung dakwaan meminta suapan RM10,000 daripada keluarga mangsa rogol.Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret, Rais Imran Hamid, terhadap lelaki berusia 30-an berkenaan.


Pegawai polis itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Kota Bharu dengan berpakaian lokap SPRM.


Terdahulu, pegawai polis itu ditahan SPRM Kelantan di pejabatnya dekat Jeli petang semalam kerana disyaki meminta suapan RM10,000 daripada keluarga mangsa rogol.Tangkapan itu dibuat selepas suspek didakwa meminta wang daripada pengadu yang juga seorang wanita sebagai imbuhan untuk menutup kes rogol membabitkan anak perempuan mangsa yang berlaku beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, ketika dihubungi media mengesahkan tangkapan itu dan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu.

Sumber BH


MACC FM
My Anti-Corruption Channel