Pegawai penguat kuasa kanan ditahan SPRM Kelantan

Tarikh: 19/05/2025
img

KOTA BHARU: Seorang pegawai penguat kuasa kanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, hari ini, kerana disyaki menerima barangan berharga serta wang tunai berjumlah RM14,000 daripada seorang kontraktor.

Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM negeri sekitar jam 1 tengah hari tadi.

"Pegawai SPRM menahan suspek selepas dia memberi keterangan kepada pegawai penyiasat," katanya.

Sumber turut memaklumkan bahawa penahanan dilakukan susulan satu aduan yang dibuat oleh kontraktor terbabit, beberapa bulan lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menerima sesuatu yang berharga tanpa balasan setimpal, yang mungkin dilakukan dengan motif rasuah oleh penjawat awam.

Sementara itu Pengarah SPRM Kelantan, Rusli Husain, mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, pegawai terbabit dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, esok.


MACC FM
My Anti-Corruption Channel