KOTA BAHRU: Pegawai Pemelihara Hutan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,500, dari 2019 sehingga 2023.
Tertuduh, Nazri Husin, 54, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, Nazri didakwa atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM3,500 dari 2019 sehingga 2023 sebagai upah membantu Ching Fook Loong untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan kerja pembalakan sebagai kontraktor pembalakan dalam Projek Ladang Hutan di kawasan Hutan Simpan Lesong (Mukim Keratong) Rompin, Pahang.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nurul Nadia Norrizan.
Terdahulu, Nurul Nadia memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Seremban memandangkan anak guamnya bertugas di negeri itu.
Mahkamah kemudian menetapkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Seremban dan menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 2 Oktober lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban dengan 116 pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 atas kesalahan menerima rasuah sebanyak RM649,169.68.
Sumber: Berita Harian